Hantu Jururawat Di Hospital Pakar Lembah Klang

Kira-kira sepuluh tahun yang lalu, bapa kepada seorang sahabat saya yang bernama Anis, menjalani satu pembedahan bypass, di sebuah hospital pakar yang terkenal di Lembah Klang. Syukur alhamdulillah, pembedahan bapa sahabat saya itu berjalan dengan lancar. Hari demi hari berlalu, keadaan bapanya beransur-ansur baik.

Saudara-mara dan sahabat handainya ramai yang datang melawat. Jururawat dan doktor juga memberikan perhatian serta layanan yang baik. Salah seorang daripada mereka ialah Tiara, jururawat muda yang ditugaskan untuk memantau keadaan kesihatannya.

Setiap malam, Tiara pasti datang membetulkan selimutnya, bertanya khabar serta bersembang. Dan yang paling “istimewa”, Tiara kenal setiap orang yang datang menziarahi bapa sahabat saya itu. Cara Tiara bercerita menunjukkan dia kenal benar dengan datuk, bapa saudara, ibu saudara serta saudara-mara bapa Anis.

Layanan yang baik dan keramahan jururawat muda itu memang dipuji. Cuma bapa sahabat saya itu berasa agak pelik, macam mana Tiara boleh mengenali saudara-maranya? Adakah Tiara mempunyai kaitan darah dengan dirinya? Anak saudara, atau cucu saudara, mungkin.

hantu hospital

Itu satu. Yang keduanya, apa yang lebih pelik ialah semua nama yang Tiara sebutkan itu, sebenarnya sudah meninggal dunia! Ah, macam mana Tiara boleh kenal saudara-maranya yang sudah tiada lagi di dunia ini?

Persoalan-persoalan ini terus bermain di fikiran bapa Anis, tetapi entah kenapa dia tidak bertanyakan soalan itu kepada Tiara. Soalan-soalan tersebut hanya berlegar di dalam kepalanya saja.

Selepas keadaannya pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, bapa sahabat saya itu masih teringat-ingat pada Tiara. Beberapa hari kemudian, dia menghubungi pihak hospital. Namun jawapan yang diterima semakin membingungkan. Pihak hospital menyatakan bahawa Tiara tidak pernah ditugaskan untuk menjaga dan memantau keadaannya.

“Tiara sudah lama berhenti, pak cik. Dah beberapa tahun dah,” jawab seorang jururawat di hujung talian. Bapa Anis terasa seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Ini memang pelik.

Mustahil Tiara sudah beberapa tahun berhenti, sedangkan baru beberapa malam yang lepas Tiara datang melawat dan berbual dengannya. Jika Tiara sebenanarnya sudah berhenti kerja, kenapa dia memakai pakaian seragam jururawat? Dan kenapa dia dibenarkan masuk ke biliknya?

hantu jururawat

Apabila diberitahu demikian oleh bapa Anis, jururawat berkenaan tidak semana-mena menjadi gugup. Suaranya tergagap-gagap dan dia kedengaran seperti bercakap-cakap dengan seseorang di sebelahnya. Selepas agak lama berbincang, barulah dia menyambung semula perbualan.

“Betul Pak cik, Tiara sudah tak kerja kat sini lagi. Tapi saya minta pada pak cik, tolong jangan beritahu hal ni kepada orang lain. Harap pakcik boleh rahsiakan cerita pasal Tiara ini, ya”, beberapa kali jururawat berkenaan mengulangi pesannya pada bapa Anis.

Hanya itu sahaja jawapan yang mampu diberikan. Soalan kenapa Tiara tidak bekerja di situ lagi, bagaimana dia boleh datang menziarahi bapa sahabat saya itu dan di mana gadis berkenaan sekarang, semuanya dibiarkan tergantung tanpa jawapan.

Kenapa perlu dirahsiakan cerita pasal Tiara? Adakah mereka menyembunyikan misteri yang lebih besar? Anda fikir-fikirlah sendiri.

Sumber : Utusan Online

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.