Diraba Tangan Berbulu Di Celahan Pohon Nipah

Assalamualaikum. Di sini saya ingin berkongsi sebuah cerita seram yang mungkin akan menyeramkan para pembaca. Cerita yang saya nak ceritakan ini benar-benar berlaku, ada sebahagian dari pengalaman hidup saya dan ada sebahagian saya dapat dari ornag lain. Cuma terpulanglah kepada anda sama ada untuk mempercayainya atau tidak kerana perkara misteri seperti ini sangat sukar dirungkaikan dengan akal fikiran manusia.

Cerita seram ini berlaku di Kampung Parit Baharu yang terletak di Sabak, Selangor. Kejadian itu berlaku sebelum merdeka lagi ketika kampung ini baru sahaja dibuka. Nama sebenar mereka yang terlibat terpaksa dirahsiakan untuk menjaga sensitiviti ahli waris yang masih hidup. Tetapi sebelum saya meneruskan cerita ini terlebih dahulu saya ingin memohon maaf sekiranya cerita ini mungkin mengandungi unsur-unsur kelucahan yang mungkin boleh mengganggu keselesaan sebahagian pembaca.

Cerita ini berkenaan dengan Wak Darma (nama samaran). Wak Darma ini merupakan seorang yang telah mempunyai beberapa orang cucu dan beliau ini terkenal dengan sikapnya yang suka bercakap besar, lebih-lebih lagi berkenaan hal-hal yang berbaur mistik dan misteri. Pada satu hari beliau telah mengadakan kenduri perkahwinan anak perempuan beliau. Setelah seharian penat melayan tetamu dari kalangan orang kampung dan sanak-saudara, pada sebelah malamnya beliau bercadang untuk pergi ke pekan untuk mengeteh (bahasa jawa bermaksud duduk melepak di kedai kopi).

Memang telah menjadi tabiatnya setiap malam beliau akan keluar minum bersama-sama rakannya di kedai kopi sambil berbincang mengenai perkara kosong untuk menghabiskan waktu malam yang terluang. Maklum sajalah pada waktu itu belum ada lagi televisyen apatah lagi internet seperti zaman kita sekarang ini, jadi itulah antara hiburan penduduk kampung. Di samping itu juga ia merupakan salah satu cara bagi penduduk kampung untuk bersosial sesama mereka.

Ketika Wak Darma hendak melangkah keluar rumah, isteri beliau telah membantah rancangan beliau itu dengan alasan masih ramai lagi sanak-saudara yang berada di rumah. Lagipun malam itu kelihatan awan yang sarat seperti hendak menurunkan kandungannya membasahi bumi. Namun semua leteran isterinya itu langsung tidak diendahkan oleh Wak Darma dek kerana gian akan keenakan kopi pekat Pak Ismail yang seolah-olah sudah terasa dilidahnya. Tanpa menunggu lebih lama, beliau telah melangkah keluar dari rumah dan berjalan pergi menghala ke pekan.

Sampai sahaja di pekan, Pak Darma telah meminta secawan kopi dari Pak Ismail dan menghabiskan waktu malam itu bersama rakan-rakan beliau dengan berbual kosong sambil menghisap rokok lenteng (sejenis rokok yang digulung dengan tembakau jawa dan dicampur cengkeh yang digunting). Dalam keasyikan bersembang dengan rakan-rakannya telah membuatkan Wak Darma tidak sedar bahawa malam telah pun lewat. Itu pun hujan yang turun renyai-renyailah yang telah menyedarkan malam telah semakin larut dan telah melewati waktu tengah malam.

ngeteh

Kerana bimbang hujan yang turun akan semakin lebat Wak Darma telah membayar harga kopi yang diminumnya dan beliau hendak berlalu dari situ. Semasa hendak berlalu dari situ Pak Ismail telah menasihati beliau untuk tidur sahaja di kedai kopi itu dan beberapa orang kawan-kawannya telah menakutkan beliau dengan pelbagai cerita seram. Namun dengan angkuhnya beliau berkata, “Ini Darmalah, kalau hantu datang aku selak kain aku semua hantu cabut lari”. Kata Pak Darma sambil ketawa mengekek. Perbuatannya itu telah membuatkan rakan-rakannya meluat dengan sikap ego beliau itu.

Tanpa menghiraukan nasihat Pak Ismail, Wak Darma tetap berkeras untuk pulang ke rumahnya malam itu juga. Dengan berbekalkan cahaya samar-samar dari lampu suluh, Wak Darma telah berjalan sambil menyanyi kecil untuk menghiburkan hatinya sendiri. Ketika beliau melalui sepohon pokok nipah secara tiba-tiba pokok nipah itu bergoyang-goyang seperti di dalam rimbunan pokok nipah itu seolah-olah ada sesuatu. Pada mulanya beliau buat-buat tidak melihat akan hal itu sambil menyanyi lebih kuat lagi untuk menghilangkan perasaan takut di hati namun apa yang mengecewakan ialah goyangan pokok nipah tersebut semakin kuat.

Untuk menunjukkan keberaniannya, Wak Darma terus menjerit ke arah pokok nipah itu, “Kau jangan buat hal, nanti aku selak kain aku menyesal kau!”. Tetapi dengan tak semena-mena satu tangan yang berbulu lebat telah keluar dari pokok nipah tersebut. Wak Darma terpaku sebentar sambil menggeletar ketakutan seluruh tubuh apabila suluhan lampu suluhnya menerangi tangan berbulu tersebut. Dalam ketakutan yang teramat sangat beliau menjerit kepada tangan tersebut, “Kau ni tak faham bahasalah, aku selak kain aku nanti taulah kau!” dengan harapan tangan berbulu itu akan hilang dari pandangannya.

Namun perkara yang sebaliknya berlaku apabila tangan itu terus memanjang dan menghala ke arah beliau. Apa yang lebih menghairankan ialah badan makhluk empunya tangan tersebut tidak kelihatan, mungkin ia menyorok di dalam pokok nipah di tepi jalan itu. Dalam ketakutan yang amat sangat itu Wak Darma telah menyelak kainnya dengan harapan tangan yang berbulu lebat itu akan hilang selepas beliau menyelak kainnya. Namun lebih malang lagi apabila beliau menyelakkan kainnya, tangan itu semakin memanjang ke arahnya dan apa yang lebih mengecewakan apabila tangan itu telah bertindak meraba kemaluannya.

hantu berbulu

Tanpa membuang masa lagi dan dengan ketakutan yang teramat sangat beliau mula mengorak langkah seribu sambil menjerit-jerit ketakutan seperti gegak gempita di sepanjang jalan larian yang Wak Darma lalui untuk sampai ke rumahnya. Semasa melarikan diri itu, Wak Darma masih terasa kemaluannya seperti sedang diraba oleh tangan berbulu tersebut. Semakin diraba semakin kuat Wak Darma menjerit dan berlari.

Sebaik sahaja sampai di rumah, Wak Darma telah menerpa pintu rumahnya yang diperbuat dari atap nipah dan terus terduduk kepenatan. Seluruh ahli keluarga dan sanak-saudara tidak ketinggalan jiran tetangga yang terkejut dengan suara bingit Wak Darma telah membawa lampu masing-masing ke arah Wak Darma lantas masing-masing menyuluh Wak Darma. Aduhai malang seribu kali malang rupa-rupanya ketika beliau melarikan diri dari tangan berbulu itu beliau telah melucutkan kain yang diselakkannya kerana kain yang diselaknya telah mengganggu lariannya.

Seluruh kaum keluarga, sanak-saudara dan jiran-jiran yang hadir dari kalangan perempuan bertambah terkejut melihat Wak Darma hanya memakai songkok, baju melayu tetapi tidak berkain sambil duduk berlunjur melayan kepenatan. Mereka menjerit-jerit malu manakala yang lelaki pula terus menolehkan muka menghala ke arah lain. Kelam kabut anak-anak Wak Darma mengambil kain dari biliknya untuk menutup tubuh Wak Darma yang bogel. Ketika itu, Wak Darma kelihatan terpingga pinga dan selepas kejadian itu Wak Darma telah mengalami demam yang sangat teruk selama seminggu.

Artikel ini dipetik dari laman web carigold dan telah diolah semula oleh team kisahseram.com untuk dikongsi bersama para pembaca. Harap semua pembaca setia kisahseram.com terhibur dengan cerita seram ini yang mengandungi sedikit elemen humor.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.