Dejavu Selamatkan Tiga Sekawan Dari Gangguan Makhluk Halus

Aku baru sahaja balik dari kerja pada sebelah petang dan terus menuju ke studio aku yang terletak berhampiran dengan rumah aku untuk membuka kedai (aku meniaga sendiri). Seperti biasa, aku mesti akan minum-minum dulu di salah sebuah kedai mamak yang ada di tingkat bawah studio aku. Pada lebih kurang jam 10.30 malam, aku mendapat panggilan dari kawan aku, Wan namanya. Wan adalah seorang pemandu lori kontena.

Kebetulan pada malam itu, beliau ditugaskan untuk menghantar kontena ke salah sebuah kilang yang terletak di suatu kawasan pendalaman. Untuk ke kilang itu, memang akan melalui jalan yang sangat ‘keras’ dan menyeramkan. Mana taknya, gelap dan sunyi saja jalan itu. Takkan ada kereta yang akan melalui jalan tersebut atas dari jam 1.00 pagi. Jadi Wan pun telefon aku, meminta aku dan seorang lagi kawan aku untuk menemaninya. Aku pun bersetujulah. Kesian pun ada jugak sebab dia tak biasa dengan jalan itu. Kang tak pasal-pasal kontena ke mana, dia pula ke mana nanti. Jadi aku dan kawan seorang lagi pun bersetuju untuk menemaninya, dan si Wan akan datang jemput kami di studio aku pada jam 12.30 tengah malam.

Tepat jam 12.30 seperti yang dijanjikan, Wan pun sampai di depan studio aku. Kami pun panjat ke dalam lorinya dan terus memulakan perjalanan. Untuk mengurangkan rasa yang tidak elok, kitorang pun pasang la radio. Masing-masing melayan lagu-lagu yang diputarkan di corong radio. Dah macam karaoke box dah lori Wan tu. Apabila sampai sahaja di laluan kawasan yang aku sebutkan pada awal cerita tadi, mata aku pun melilau ke kiri dan ke kanan untuk melihat jika ada apa-apa yang mencurigakan.

Pada awalnya memang takda apa-apa, jadi kami pun merasa sedikit lega. Kemudian, dengan tidak semena-mena dari hujung mata aku, ternampak kelibat bayang-bayang seperti perempuan bertudung di tingkap sebelah pemandu. Tapi apabila aku pandang, kelibat tersebut terus ghaib. Ini membuatkan aku berfikir bahawa itu hanyalah imaginasi aku sahaja. Namun ternyata itu bukan satu imaginasi, tetapi satu gurauan berisi dari penghuni kawasan terbabit.

hantu

Aku terus mendiamkan diri aku selepas kelibat tersebut menghilang. Dengan tak semena-mena, aku dapat rasakan yang rambut pada bahagian telinga aku seperti dikuis-kuis, dibuat main-main. Aku pun marahlah kawan aku, “Oi, kau ni dah takda kerja lain ke nak main-main rambut aku pulak?”. Kawan aku tu terkejut dan menjawab, “Eh, sejak bila pulak? Kau tak nampak ke aku tengah main henfon ni”. Wan yang tengah memandu pun memberi isyarat tangan, supaya diam. Aku dan kawan aku pun terus diam seribu bahasa, seperti mengetahui ade sesuatu yang tidak kena pada waktu tersebut.

Akhirnya kami sampai di persimpangan yang sememangnya wajib untuk dilalui, sebab kilang yang dituju terletak di hujung laluan persimpangan tersebut. Wan pun belok ke jalan tersebut dan meneruskan perjalanan. Lebih kurang dalam 15 minit kemudian, secara tiba-tiba lori Wan tidak boleh bergerak. “Eh! Agaknya tayar lori ni tenggelam kot. Adui, dah la gelap ni. Kat hutan”, kata Wan kepada kitorang. Nak keluar pergi periksa keadaan tayar, memang tak lah masing-masing. Semua kecut perut, dengan aku-aku sekali pun dah rasa semacam.

jalan gelap

Namun begitu, salah seorang daripada kami terpaksa mengalah. Jadi kawan aku yang duduk di belakang itulah yang kena turun periksa tayar. Tapi yang anehnya, semua tayar lori berada dalam keadaan elok di atas tanah. Langsung tidak ada tanda-tanda tenggelam pun. Habis tu, kenapa tadi tayar tu tidak boleh bergerak? Aku hanya memerhatikan kawan aku dari tingkap lori. Semasa kawan aku tengah sibuk meninjau-ninjau tayar lori dengan lampu picitnya, aku terlihat sesuatu di dalam kawasan gelap hutan tu. Ya!! Memang tak salah mata aku masa tu. Jarak lembaga itu lebih kurang 50 meter sahaja di belakangnya.

Aku tidak berapa pasti apakah makhluk tersebut sebab keadaan yang gelap. Hanya samar-samar saja penglihatan aku. Nak buka pintu lori, aku tak berani. Cermin tingkap lori pulak rosak tak boleh nak diturunkan. Aku pun capai henfon untuk telefon kawan aku tu dan bagi amaran pada dia tentang ‘benda’ yang aku nampak itu. Tapi sayangnya, henfon dia tertinggal pula kat dalam lori. Aku pun bingkas bangkit dan tekad untuk buka pintu dan bagi amaran kat kawan aku, tapi aku tengok dia dah takda. Hilang!

hantu

Aku pun tanya pada Wan, kawan aku ada kat sebelah tempat dia ke? Wan cakap takda, gelap je. Tidak ada tanda-tanda cahaya lampu picit pun. Kemudian aku paksa Wan turun dari lori untuk periksa kawan aku tu. Selang beberapa minit kemudian, masih tiada respon daripada si Wan. Senyap-sunyi je. Hanya bunyi radio je yang aku dengar. Pastu aku turunkan tingkap sebelah pemandu. Aku jerit nama Wan dengan kawan aku tu, tapi dua-dua tak menyahut panggilan aku.

“Diorang ni nak pedajal aku ke???” aku berfikir sendirian. Akhir sekali aku fikir, tak boleh jadi ni, diorang pergi mana entah ni tinggalkan aku sorang-sorang. Aku pun ambil lampu picit di dalam laci kecil, dan aku terus turun dari lori tersebut. Sumber penglihatan aku cumalah dari lampu picit kecil tu saja. Jadi aku pasang telinga betul-betul supaya tiada apa yang pelik terjadi. Aku hanya berjalan perlahan-lahan sambil menyuluh ke kiri dan ke kanan.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi ketawa kecil dari arah yang bertentangan. Aku pun menyuluh lampu picit di tangan aku sambil memerhatikan kawasan tersebut. Apa yang aku nampak ialah sesusuk tubuh dari arah belakang. Berpakaian lusuh bercampur dengan warna-warna tanah dan berambut putih panjang mencecah ke tanah. Aku hanya mampu berdiri kaku di situ sambil menggigil terketar-ketar. Kelihatan dia seperti sedang menggigit sesuatu. Apabila dia berpaling ke arah aku, apa yang digigitnya itu rupa-rupanya adalah kepala kawan aku dan juga Wan!!!

hantu

Aku tersentak seketika! Rupa-rupanya aku sedang bermimpi ngeri. Aku terus lihat ke bahagian pemandu dan bahagian belakang. Semua masih ada. Kami berada di persimpangan jalan dan Wan pun membelok ke simpang wajib tersebut. Seperti dejavu, sampai sahaja ke satu kawasan yang sama sperti dalam mimpi aku, lori Wan tidak dapat bergerak. “Eh! Agaknya tayar lori ni tenggelam kot. Adui, dah la gelap ni. Kat hutan”. Aku seperti mendengar rakaman semula suara si Wan.

Kemudian kawan aku nak turun untuk periksa keadaan tayar lori. Tapi kali ini aku halang, “Tak payah, kita tunggu hari cerah je. Tak payah turun”. Tapi si mangkuk ni tetap berdegil nak turun jugak. Aku pun memang berkeras tak bagi dia turun. Sedang kami berbalah, tiba-tiba terdengar bunyi ketukan yang cukup kuat dari luar lori, di bahagian pintu penumpang. Masing-masing terus senyap.

Kemudian diikuti pula oleh bunyi ketukan dari arah tingkap hadapan. Tapi kami tidak nampak apa-apa. Hanya bunyi sahaja yang kedengaran sangat kuat dan menyeramkan. Kami hanya membatu, senyap seribu bahasa. Kami menunggu di dalam lori sehinggalah keesokan paginya. Apabila hari dah mula cerah. Kami bertiga pun keluar dan turun dari lori tersebut. Terdapat kesan lekuk dan cakaran pada bahagian luar pintu lori.

Ini beerti apa yang kami dengar semalam itu bukanlah khayalan semata-mata. Mungkin mimpi semalam tu adalah sebagai amaran supaya tidak bertindak menjadi terlalu pemberani.

Kisah di atas adalah dari pengalaman saudara Far-eiz yang dikongsikan oleh beliau di laman GengCerita.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.